Sunday, 14 December 2008

Kita Telah Berubah...dan Berubah

Setahun yang lalu saya berkesempatan bertemu dengan beberapa orang ex anak didik saya yang telah berhijrah SMKAY di MMY. Setahun yang masih baru dirasa. Kata mereka: "Ustaz, nasihatkan kami...kami rasa kami telah banyak berubah...tak macam dulu" Sedih kedengarannya. Apa yang berubah. Sifat, perangai & tingkahlaku , suasana atau umur? Kata saya kita memang berubah dan sedang berubah, manusia melalu fasa-fasa kehidupan yang pelbagai. Cuma ada perkara asas yang perlu kita ingat sebagai seorang Muslim untuk dirujuk selalu iaitu sentiasa kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Kita takkan selamanya kanak-kanak dan kita takkan selamanya remaja. Kamu takkan selamanya 15 tahun di tingkatan 3 sepertimana saya mengajar kamu dulu. Dan kita takkan selamanya di al-Mashoor, MMY atau MMBB. Kita juga takkan selamanya berada dalam satu biah yang kita suka bersama sahabat-sahabat yang kita sayangi dan cintai. Kita takkan selamanya muda. Dan kita takkan selamanya berada di dunia ini.

Kita menyusuri perjalanan kehidupan, sepertimana didahului mereka yang sebelum kita. Saya juga tidak akan selamanya sebegini. Tuhan memberikan saya peluang untuk belajar selama 27 tahun dari sekolah kehidupan. Dari meniarap, merangkak, berdiri, mula bertatih dan kemudiannya berlari. Membaca dan menulis. Menerima dan memberi. Kita belajar merasa kehidupan melalui pengalaman. Pahit atau manis. Suka atau duka. Adakalanya pengalaman merupakan hasil dari tarbiyah langsung dari tuhan tanpa kita sedari.

Belajar Dari Keslaahan Diri

Kita juga belajar dari kesalahan diri. Kecacatan dan keaiban. Kesalahan-kesalahan yang pernah kita lakukan. Adakalanya kesalahan dan kelemahan tersebut kita sememangnya tidak mahu ia berlaku pada diri kita. Namun, apa yang ditakdirkan Allah untuk berlaku, maka ia berlaku. Sekiranya kita permah ditakdirkan melakukan kesalahan lalu, maka kita tidak akan mampu mengubahnya atau berpatah balik lagi. Kita perlu meneruskan perjalanan kehidupan yang masih berbaki. Menyesali kesalahan-kesalahan lalu dengan bertaubat dan membuat perubahan di masa hadapan. Dan kecacatan dan kelemahan yang kita miliki akhirnya menyedarkan kita bahawa kita adalah insan yang tidak sempurna. Supaya kita terus berdoa, berharap serta memohon untuk berteduh, di bawah rendangan dan rahmat kasih tuhan yang tidak terhitung luasnya.

Ujian Dalam Kehidupan
Kita tidak akan gembira dan ketawa selamanya. Dan kita juga tidak patut untuk bersedih dan menagis selamanya. Apabila kita dapat melihat fitrah kehidupan ini, maka kita telah mampu melihat hikmah ilahi ini dengan penuh pelbagai warna dan sifatnya. Ujian pula pelbagai bentuk. Ada ujian berbentuk kenikmatan. Ada yang berbentuk kepayahan dan kesengsaraan. Semakin tinggi keimanan kita, semakin tinggi juga ujian yang perlu dihadapi. Itulah yang dapat kita simpulkan dari sirah para nabi-nabi dan rasul-rasul alaihim solatuwassalam. Memang benar, adakalanya kita merindukan kesempurnaan dalam kehidupan. Namun kesempurnaan kehidupan sebenarnya tidak akan lengkap tanpa pelbagai corak warna untuk disentuh dan dirasa. Kita semakin ramai kawan dan sahabat. Semakin luas ruang sosial dan pergaulan. Namun sebenarnya kita kurang sahabat yang apabila kita bertemu dengannya terasa nikmatnya Iman. Terasa manisnya beribadah. Terasa hampirnya diri dengan tuhan. Terasa dekatnya akhirat. Saya juga rindu saat-saat begitu. Tapi saya perlu akui, saya tidak di situ lagi, tidak dengan suasana yang sama. Kita berubah. Dan kita harapkan perubahan yang lebih bermakna akan berlaku dalam kehidupan sepanjang perjalanan kehidupan. Namun kita tetap istiqamah seperti dulu, bagi sahabat-sahabat yang benar-benar mengenali kita.

0 comments: