Tuesday, 16 December 2008

Setelah Beriman Mengapa Perlu Dipercayai Lagi Ramalan Bintang?(Sebuah cerita kanak-kanak)

Rasanya telah tiga kali sebelum ini saya membuat ‘post’ berkenaan horoskop sebagai respon kepada anak-anak didik saya. Sesekali membaca lontaran soalan yang dikemukakan terasa lucu juga. Teringat ketika belajar di Mesir dulu saya mempunyai beberapa orang kawan yang cukup berminat dengan ramalan-ramalan macam ni .
Waktu tiba di Mesir pada minggu pertama kebetulan ada pameran kitab dari satu Maktabah (Pustaka) dekat dengan rumah Melayu Abbasiah setelah kami mengikuti beberapa siri slot yang dianjurkan buat pelajar-pelajar baru. Ramai yang sibuk-sibuk membeli. Saya turut membeli kitab Feqh Sunnah 3 jilid karya Said Sabiq. Tapi dalam ramai kawan-kawan saya ada seorang kawan saya yang membeli hanya sebuah kitab iaitu ‘Tafsir al-Ahlam’ (Tafsir Mimpi) karya Ibn Sirin. Apabila saya bertemunya saya bertanya. ‘Anta beli apa?’ lalu dia menunjukkan buku tersebut. Dalam permasalahan mimpi sememangnya saya tidak nafikan ada perbahasannya yang tersendiri. Cuma sedikit lucu dengan kawan saya seorang ni sebagai peminat tentang ramalan-ramalan. Saya sempat bergurau dan berkata:’Orang sibuk-sibuk cari Tafsir Ibn katsir anta boleh jumpa Tafsir al-Ahlam (Tafsir Mimpi)’. Ia membuatkan ramai antara kami tertawa.

Sepanjang empat tahun di Mesir saya pernah juga berjumpa dengan seorang kawan peminat buku ‘Tajul muluk’. Agak keterlaluan untuk menyatakan bahawa mereka beriman sepenuhnya dengan buku tersebut, tapi barangkali perkara-perkara macam ni memang menjadi hobi suka-suka banyak orang. Tapi saya rasa lebih baik baca buku komik seperti ‘Dragonball’(masa tu kami tak jumpa buku Det Conan lagi ). Sebab komik-komik ni memang dah sah kita tahu cerita rekaan. Tapi tak tau la kalau ada orang baca komik dia jadi percaya dengan cerita tersebut. Serupa cerita ‘Herous’ kat TV. Namun amat berlainan dengan membaca ramalan-ramalan termasuk horoskop. Ia lebih mempengaruhi. Malah ada yang separa beriman dengan perkara-perkara macam ni.


Maaf untuk dinyatakan bahawa sifat anti-horoskop dan anti-ramalan memang ada pada diri saya. Pertama saya adalah seorang Muslim yang beriman dengan Qada dan Qadar. Kedua sememangnya terdapat larangan dari al-Hadis terhadap ramalan-ramalan bintang. Ketiga ia akan merosakkan sifat positif iaitu keyakinan diri yang ada pada diri saya untuk sentiasa berusaha dan berserah kepada Allah Taala.

Saya ingin berkongsi cerita ketika zaman kanak-kanak. Saya pernah bertemu dengan seorang tua (dia dahpun meninggal ) yang tidak suka melakukan suatu hajat yang penting pada hari Selasa dan Sabtu. Selalunya kalau ada hajat-hajat besar dia akan tunggu untuk dilakukan pada hari lain. (menurutnya hari Selasa dan Sabtu kurang baik).Fikiran saya yang masih kanak-kanak mentah ketika itu belum dapat menganalisanya. Malah kadang-kadang ibu sayapun macam terikut-ikut dengan budaya ini. Dan kebetulan pula ada perkara-perkara malang (musibah ) berlaku pada diri saya pada hari Selasa dan Sabtu. Dan saya mula tersedar perkara ini mula mempengaruhi diri saya.

Selepas saya patah bahu masa tingkatan 2 masa main bola secara liga di Maahad dulu (ingat lagi masa patah ada kawan sempat lagi bergurau, dia cakap tak pernah pulak dia dengar orang solat sunat patah-patah, bengkak-bengkak ada la, tajam betul sindiran tu, dah la tengah sakit, nasib la dia ni jenis tak main bola), saya mula terfikir untuk membuat kajian. Kebetulan pula peristiwa itu berlaku pada hari Sabtu. Betulkah hari Selasa dan Sabtu ni merupakan hari kurang baik untuk saya?

Bermula dari hari itu saya mula membuat catatan. Kejadian-kejadian yang berlaku dalam hidupku sepanjang seminggu. Dalam bahasa Usul Feqh dinamakan ‘Istiqra’. Saya menilainya untuk tempoh hampir setahun. Dan akhirnya saya mendapat keputusan bahawa, ada juga hari-hari lain yang bukan Selasa dan Sabtu yang berlaku perkara-perkara yang disifatkan orang malang. Dan ada juga hari Selasa dan Sabtu saya berjaya mencapai perkara-perkara yang memberangsangkan. Sahlah andaian tersebut salah. ‘Istiqra Naqis’. Hanya syaitan yang cuba mengelabui mata. Perkara-perkara yang disifatkan malang itu dipanggil ujian dan musibah. Ia boleh berlaku bila-bila masa saja. Moralnya di sini, selalu bersangka baik dengan tuhan. Keputusan analisa tersebut saya bentangkan sebagai bukti pada ibu saya, bahawa tiada malang lagi pada hari Sabtu dan Selasa. Ia adalah satu kejayaan yang besar untuk saya yang ketika itu yang tidak tahu lagi tentang kaedah-kaedah membuat kajian lapangan (masa buat kajian umur dalam 14-15 tahun, 16 tahun semak kajian , mcm buat ma plk, sayang dah buang analisa tu )


Maaf kerana cerita yang saya bentangkan tadi sedikit kebudak-budakan. Tapi sebelum dewasa kita memangpun budak-budak. Dan blog nipun sebenarnya terhasil kerana kasih kepada remaja dan budak-budak. Sabda baginda nabi mafhumnya:

“Bukanlah dari kalangan kami mereka yang tidak mengasihi mereka yang lebih kecil (muda) dari kami, dan tidak menghormati mereka yang lebih besar (tua) dari kami, dan tidak menghormati orang alim di kalangan kami”.

Cukuplah rasanya cerita pasal horoskop. Kalau boring sangat bacala buku Det Conan. Saya selalu silap bila nak baca buku komik Jepun, bila dah sampai tengah tak faham baru saya sedar bahawa saya baca buku tu terbalik arah. Sekian. Terima kasih!

Older Post About Horoskop

http://pewariskecemerlangan.blogspot.com/2008/10/mempercayai-ramalan-horoskop-i.html

http://pewariskecemerlangan.blogspot.com/2008/10/mempercayai-ramalan-horoskop-ii.html

http://pewariskecemerlangan.blogspot.com/2008/10/mempercayai-ramalan-horoskop-iii.html

0 comments: