Tuesday, 30 December 2008

Sesekali Diuji Baru Kita Menyedari Bahawa Kita Sebenarnya Masih Lemah Pergantungannya Pada Ilahi

Berbicara tentang musibah dan ujian kurang nilainya sekiranya kita belum pernah menempuhnya. Begitu juga bercakap tentang kejayaan dan kegagalan. Kata orang, orang yang telah berjaya mengecapi kejayaan lebih mudah menyampaikan motivasi tentang kejayaan dengan lebih meyakinkan kepada orang yang ingin mendengarnya. Samada ukuran kejayaan itu diukur secara material melalui pencapaian-pencapaian dalam hidupnya seperti kebiasaan orang menilainya. Atau dengan pengamatan yang lebih halus iaitu dengan melihat kekuatan �spritiual� orang itu sendiri.






Begitu juga apabila berbicara tentang kegagalan. Seseorang itu dianggap kurang kelayakan untuk bercakap tentang kegagalan kecuali dia telah mengalami dan berjaya menempuhnya. Adalah satu kesilapan apabila sesetengah orang membayangkan cerita motivasi itu adalah cerita kejayaan semata-mata. Motivasi sebenarnya adalah perjuangan dalam menempuh kehidupan itu sendiri. Kekuatan dalaman seseorang itu sendiri, sejauh mana dia mampu untuk terus bertahan, jatuh dan bangun semula. Inilah yang gagal difahami oleh sebahagian kecil anak didik saya apabila saya bercerita tentang motivasi. Malah sebahagian dari orang dewasa sendiri. Mereka tidak menyangka bahawa cerita tentang kegagalan itu sendiri merupakan sebahagian dari cerita motivasi.




Sekiranya kita rajin menelaah sirah, kita akan mendapati dalam perjuangan baginda Rasul dan sahabat-sahabat sendiri terdapat saat-saat kejayaan dan saat-saat kegagalan. Saat-saat kegembiraan dan saat-saat kesedihan dan kekecewaan. Begitu juga apabila kita membaca cerita-cerita tokoh-tokoh besar di kalangan ulama umpamanya. Tiada seorangpun tokoh Islam yang berjaya menempah nama harum di bumi ini dan lebih-lebih harapannya di langit, menempuh kehidupan dunia ini dengan hidup sentiasa senang-lenang dan bergoyang kaki.

Mereka yang hanya dihidangkan dengan cerita-cerita kejayaan semata-mata, tanpa menemui cerita-cerita tentang kegagalan mungkin akan menghadapi masalah besar apabila mereka ditakdirkan akan menempuh kegagalan suatu hari nanti. Inilah yang jarang diselitkan dalam slot ceramah-ceramah motivasi. Mungkin ada yang kurang bersetuju kerana ia mungkin boleh mewujudkan sisi negatif dalam minda untuk mencapai kejayaan. Namun saya memiliki pandangan yang tersendiri. Dan bersama-sama mereka yang meyakini penuh ketentuan Qada dan Qadar, cerita-cerita kegagalan yang diselang selikan dengan cerita-cerita kejayaan ini tidaklah pernah melemahkan semangat kami. Saya pernah membaca karya Hasan al-Banna menyentuh tentang keimanan kepada Qada dan Qadar ini. Ia adalah kefahaman yang berpaksikan keimanan di hati. Setidak-tidaknya saya tidaklah berbohong tentang kehidupan ini hanya dengan cerita-cerita indah semata-mata. Berpijak di bumi realiti, dan berpijak kepada pengalaman hidup yang dilalui sendiri, itulah perjuangan kehidupan yang perlu dilalui oleh setiap makhluk yang bernama manusia.



Pada penghujung tahun 2005 saya pernah menerima mesej dari seorang anak didik saya yang ingin lari dari rumah akibat tertekan dengan keputusan peperiksaan PMR tidak seperti yang diharapkan. Barangkali harapan keluarga yang terlalu menggunung tinggi. Motivasi-motivasi yang dihadiri yang menekankan kejayaan material semata-mata adalah faktor-faktor yang menekan diri. Mungkin gagal atau kurang berjaya dalam PMR kelihatan remeh bunyinya untuk menjadi permasalahan. Namun minda anak-anak remaja tidak sama dengan orang dewasa. Adakalanya kita mendengar beberapa permasalahan yang dirasakan tidaklah sebesar mana. Namun kita bersedia mendengarnya. Mendengar adakalanya lebih sukar dari bercakap. Sekiranya selalu kita bercakap dengan maksud memberi maka tidak salah sesekali kita memberi dengan mendengar pula. Tidak ramai orang yang ingin berkongsi cerita tentang kegagalan sebagai motivasi. Kemungkinan kegagalan dilihat sebagai satu gambaran kelemahan. Memang benar, kita tidak selalu menceritakan cerita-cerita kegagalan peribadi secara terperinci, melainkan untuk kes-kes tertentu. Dan tujuan penceritaan tentang kegagalan tersebut ialah bagaimana kita melaluinya, menghadapinya, bertahan, jatuh dan kemudian bangun semula.






Tahun 2005 merupakan tahun tarbiyah dan pendidikan untuk saya. Ia merupakan tahun ujian buat saya. Boleh juga dianggap sebagai tahun dukacita. Ujian didatangkan Allah pada tahun itu secara berturut-turut satu demi satu. Dalam tempoh sepanjang kehidupan saya tidak pernah saya mengambil masa yang lama untuk 'motivate' kembali semangat dan keyakinan diri yang hilang. Namun berbeza pada tahun tersebut, saya mengambil masa lebih dari 3 bulan untuk bangkit semula. Estim diri jatuh menjunam. Saya merasakan seolah-olah tidak memiliki apa-apa lagi ketika itu untuk bangkit dari kegagalan dan kekecewaan. Saya teringat pernah terbaca satu proverb Inggeris yang lebih kurang maksudnya berbunyi: 'Akan tiba masanya apabila anda percaya bahawa anda tidak memiliki apa-apa lagi, maka di situlah sebenarnya permulaannya.








Di penghujung tahun tersebut saya banyak bermuhasabah dan mengkoreksi diri. Memang benar, tidak semua impian dan cita-cita kita akan tercapai keseluruhannya. Meskipun telah kuat usaha demi usaha kita curahkan, maka tiada siapa yang mampu mengatasi kehendak takdir sekiranya itulah sebuah ketetapan. Usaha yang tinggi dengan harapan yang menggunung tanpa penyerahan sepenuhnya kepada Allah akan memberi tamparan yang hebat apabila kita ditakdirkan terpaksa menghadapi kegagalan. Kenyataannya, kegagalan besar amat sukar dihadapi oleh mereka yang menyimpan rekod kejayaan yang banyak dalam kehidupannya. Dan hanya kegagalan besar mampu mengajarnya erti redha di atas ketentuan. Redha bukanlah bermakna berputus-asa dan berhenti. Redha bererti dia perlu menerima ketentuan ini dengan hati yang lapang dan bersangka baik kepada Allah Taala. Adapun usaha untuk bangun berjuang perlu diteruskan, meskipun telah jatuh atau terjatuh berkali-kali.








Ahli falsafah Cina kalau tak silap saya ada menyebut dalam terjemahan Inggerisnya berbunyi:"Our greatest glory is not in never falling but in rising every time we fall." Kejayaan kita yang terhebat bukanlah kerana kita tidak pernah terjatuh, tetapi sentiasa bangkit setiap kali kita jatuh. Itulah sebenarnya motivasi yang tidak difahami oleh kebanyakan orang apabila berbicara tentang motivasi. Kebanyakan orang menganggap motivasi itu cuma perihal kejayaan-kejayaan semata-mata. Sebab itu apabila seorang juniour sekolah saya yang ditakdirkan gagal dalam percubaannya memulakan perniagaan datang bertemu saya untuk berkongsi pengalaman, dia menceritakan bahawa keinginan yang kuat untuk mengambil risiko sebahagiannya datang dari pembacaannya terhadap sebuah buku yang bertajuk 'Dare To Fail' (berani untuk gagal), maka saya memintanya supaya membacanya semula.( rujuk my older post yang bertajuk 'Dare To fail yang Menjadi Kenyataan'http://pewariskecemerlangan.blogspot.com/2008/10/baru-baru-ini-saya-dikunjungi-oleh.html ).







Hakikatnya dia tidak memahami sepenuhnya apakah maksud buku tersebut. Kemungkinan dia cuma berjaya memahami separuh maksud iaitu apa itu 'Berani' tetapi belum berjaya memahami maksud 'Untuk Gagal'. Maka adalah silap untuk membuat anggapan bahawa setiap percaturan berani itu akan menghasilkan kejayaan semata-mata. Berani itu ada kaitanya dengan sifat optimis atau keyakinan diri. Dan saya percaya sekiranya sifat optimis ini dibina atas 'Keimanan Yang Kental' maka ia memberikan satu energi yang luar dari biasa.







Bukankah tuhan pernah berfirman yang mafhumnya: �Dia yang menciptakan kematian dan kehidupan adalah dengan tujuan untuk menguji kamu semua siapakah yang paling baik amalannya� (al-Mulk) Dan mafhum firmannya lagi yg berbunyi:�Dan akan Kami uji kamu semua dengan sesuatu yang berupa ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, nyawa, dan buah-buahan, dan berilah berita gembira buat mereka yang sabar� (al-Baqarah)

Hakikat ujian yang datang silih berganti ini dalam kehidupan ini perlu diakui. Sekiranya ada yang menyatakan bahawa ujian-ujian yang didatangkan oleh Allah ini boleh membentuk kekuatan dalaman. Maka saya bersetuju dengannya. Ujian berbentuk kehilangan demi kehilangan orang yang disayangi dan rasa ingin kita bergantung harap padanya umpamanya, akan membentuk pergantungan penuh kepada Ilahi. Ini dapat dipelajari dari sirah Rasulullah sallallah �alaihi wasallam. Apabila Allah ingin menguatkan hati baginda Rasul. Allah melahirkan baginda dalam keadaan yatim tidak berayah. Kemudian kehilangan ibunya. Kemudian pakciknya yang disayangi. Dan seterusnya Khadijah isterinya yang banyak berkorban untuknya. Itu antara kesimpulan yang dibuat oleh pengkaji sirah baginda nabi.

Orang berkata motivasi tidak akan mampu bertahan lama, seperti mandi. Atas sebab itu kita harus melakukannya setiap hari. Begitu juga tazkirah keimanan, atau sekiranya kita suka kita boleh menamakannya motivasi keimanan. Namun kebelakangan ini sukar untuk kita bertemu dengan tazkirah-tazkirah yang sebegini. Tazkirah yang lahir dari hati orang-orang yang jujur pada dirinya dan tuhannya. Cuma baru-baru ini hati saya tersentuh mendengar satu slot ceramah yang disampaikan oleh seseorang. Ia membuatkan saya rindukan tazkirah-tazkirah yang pernah dinikmati sekitar 10 tahun yang lalu bersama sahabat-sahabat seperjuangan dulu.

Sekiranya anda berkesempatan untuk bertemu dengan orang-orang yang seperti itu. Hayatilah satu santapan pengisian rohani yang biasa isinya tetapi dengan penghayatan dan nilai yang berbeza. Sekiranya anda memiliki deria jiwa yang halus untuk merasai lazatnya tazkirah tersebut, maka anda mungkin menikmatinya dengan penuh keinsafan dan linangan air mata. Dalam hidup ini saya pernah bertemu dengan orang-orang yang sebegitu. Orang yang dilihat wajahnya sahaja terasa ingin melakukan ketaatan dan meninggalkan kemaksiatan. Orang yang dilihat wajahnya sahaja terasa hampirnya akhirat. Orang yang dilihat wajahnya sahaja terasa ingin menyerahkan sepenuh jiwa dan raga untuk Allah dan RasulNya. Betullah apa yang pernah diulang-ulang oleh pensyarah matapelajaran Adab saya ketika di tahun empat Universiti dahulu. Apa yang keluar dari hati, akan menusuk ke hati juga.


Tentunya tahun 2008 yang akan berlalu tidak berapa jam lagi akan meninggalkan pelbagai kenangan dan pengalaman, samada yang manis atau pahit buat kita. Jadikanlah yang manis-manis itu sebagai penyuntik semangat, dan yang pahit pula sebagai 'dos', untuk menambah kekuatan dalaman bagi menghadapi hari-hari yang mendatang.


Ucapan tahniah untuk yang cemerlang dalam PMR 2008. Khusus buat adik saya Nur Diyana Zahirah Sek Men dato Onn untuk 8 A. Anak-anak didik MMBB, Sarah Afifah dan N.Hafizah untuk 9A, Fahmi dan Amani untuk 8 A. Ternanti-nanti keputusan SPM bulan 3 ini pula. Buat yang kurang cemerlang atau belum berjaya. Jangan mengalah, siap sedia hadapi cabaran seterusnya.
Saat mengakhiri penulisan ini saya tertanya-tanya sendiri sebagai muhasabah buat diri. Sepatutnya semakin banyak ujian yang ditempuh semakin kuat pergantungan kita pada Ilahi. Namun adakalanya kita resah kekalutan mencari kekuatan dan sokongan. Sememangnya sebagai seorang hamba yang lemah kita amat memerlukan sokongan dari insan-insan yang berada di sekeliling kita. Sesekali ujian datang menguji, barulah kita menyedari bahawa kita sebenarnya masih lemah pergantungannya pada Ilahi.


Ya Allah Tunjukkanlah Untukku Yang Benar Itu Benar, Dan Bimbinglah Aku Untuk Mengikutinya. Dan Tunjukkanlah Untukku Yang Batil Itu Batil, dan Bantulah Aku Untuk Menjauhinya. Ya Allah, Jadikanlah AgamaMu Lebih Aku Cintai Dari Dunia dan Isinya, dan Jadikanlah Jiwaku Kaya Dari Pengharapan Yang SelainMu. Dan Bantulah Diriku Untuk Menjadi Insan yang Jujur Terhadap Diri Sendiri.

Ustaz: Sedang bertarung mencari dan membina kekuatan dalaman di sini = ). Ya, Allah, Jadikan Jiwaku Untuk Setia Teguh, Untuk Berkorban, Berkhidmat dan Memberi.....

Tuesday, 16 December 2008

Setelah Beriman Mengapa Perlu Dipercayai Lagi Ramalan Bintang?(Sebuah cerita kanak-kanak)

Rasanya telah tiga kali sebelum ini saya membuat ‘post’ berkenaan horoskop sebagai respon kepada anak-anak didik saya. Sesekali membaca lontaran soalan yang dikemukakan terasa lucu juga. Teringat ketika belajar di Mesir dulu saya mempunyai beberapa orang kawan yang cukup berminat dengan ramalan-ramalan macam ni .
Waktu tiba di Mesir pada minggu pertama kebetulan ada pameran kitab dari satu Maktabah (Pustaka) dekat dengan rumah Melayu Abbasiah setelah kami mengikuti beberapa siri slot yang dianjurkan buat pelajar-pelajar baru. Ramai yang sibuk-sibuk membeli. Saya turut membeli kitab Feqh Sunnah 3 jilid karya Said Sabiq. Tapi dalam ramai kawan-kawan saya ada seorang kawan saya yang membeli hanya sebuah kitab iaitu ‘Tafsir al-Ahlam’ (Tafsir Mimpi) karya Ibn Sirin. Apabila saya bertemunya saya bertanya. ‘Anta beli apa?’ lalu dia menunjukkan buku tersebut. Dalam permasalahan mimpi sememangnya saya tidak nafikan ada perbahasannya yang tersendiri. Cuma sedikit lucu dengan kawan saya seorang ni sebagai peminat tentang ramalan-ramalan. Saya sempat bergurau dan berkata:’Orang sibuk-sibuk cari Tafsir Ibn katsir anta boleh jumpa Tafsir al-Ahlam (Tafsir Mimpi)’. Ia membuatkan ramai antara kami tertawa.

Sepanjang empat tahun di Mesir saya pernah juga berjumpa dengan seorang kawan peminat buku ‘Tajul muluk’. Agak keterlaluan untuk menyatakan bahawa mereka beriman sepenuhnya dengan buku tersebut, tapi barangkali perkara-perkara macam ni memang menjadi hobi suka-suka banyak orang. Tapi saya rasa lebih baik baca buku komik seperti ‘Dragonball’(masa tu kami tak jumpa buku Det Conan lagi ). Sebab komik-komik ni memang dah sah kita tahu cerita rekaan. Tapi tak tau la kalau ada orang baca komik dia jadi percaya dengan cerita tersebut. Serupa cerita ‘Herous’ kat TV. Namun amat berlainan dengan membaca ramalan-ramalan termasuk horoskop. Ia lebih mempengaruhi. Malah ada yang separa beriman dengan perkara-perkara macam ni.


Maaf untuk dinyatakan bahawa sifat anti-horoskop dan anti-ramalan memang ada pada diri saya. Pertama saya adalah seorang Muslim yang beriman dengan Qada dan Qadar. Kedua sememangnya terdapat larangan dari al-Hadis terhadap ramalan-ramalan bintang. Ketiga ia akan merosakkan sifat positif iaitu keyakinan diri yang ada pada diri saya untuk sentiasa berusaha dan berserah kepada Allah Taala.

Saya ingin berkongsi cerita ketika zaman kanak-kanak. Saya pernah bertemu dengan seorang tua (dia dahpun meninggal ) yang tidak suka melakukan suatu hajat yang penting pada hari Selasa dan Sabtu. Selalunya kalau ada hajat-hajat besar dia akan tunggu untuk dilakukan pada hari lain. (menurutnya hari Selasa dan Sabtu kurang baik).Fikiran saya yang masih kanak-kanak mentah ketika itu belum dapat menganalisanya. Malah kadang-kadang ibu sayapun macam terikut-ikut dengan budaya ini. Dan kebetulan pula ada perkara-perkara malang (musibah ) berlaku pada diri saya pada hari Selasa dan Sabtu. Dan saya mula tersedar perkara ini mula mempengaruhi diri saya.

Selepas saya patah bahu masa tingkatan 2 masa main bola secara liga di Maahad dulu (ingat lagi masa patah ada kawan sempat lagi bergurau, dia cakap tak pernah pulak dia dengar orang solat sunat patah-patah, bengkak-bengkak ada la, tajam betul sindiran tu, dah la tengah sakit, nasib la dia ni jenis tak main bola), saya mula terfikir untuk membuat kajian. Kebetulan pula peristiwa itu berlaku pada hari Sabtu. Betulkah hari Selasa dan Sabtu ni merupakan hari kurang baik untuk saya?

Bermula dari hari itu saya mula membuat catatan. Kejadian-kejadian yang berlaku dalam hidupku sepanjang seminggu. Dalam bahasa Usul Feqh dinamakan ‘Istiqra’. Saya menilainya untuk tempoh hampir setahun. Dan akhirnya saya mendapat keputusan bahawa, ada juga hari-hari lain yang bukan Selasa dan Sabtu yang berlaku perkara-perkara yang disifatkan orang malang. Dan ada juga hari Selasa dan Sabtu saya berjaya mencapai perkara-perkara yang memberangsangkan. Sahlah andaian tersebut salah. ‘Istiqra Naqis’. Hanya syaitan yang cuba mengelabui mata. Perkara-perkara yang disifatkan malang itu dipanggil ujian dan musibah. Ia boleh berlaku bila-bila masa saja. Moralnya di sini, selalu bersangka baik dengan tuhan. Keputusan analisa tersebut saya bentangkan sebagai bukti pada ibu saya, bahawa tiada malang lagi pada hari Sabtu dan Selasa. Ia adalah satu kejayaan yang besar untuk saya yang ketika itu yang tidak tahu lagi tentang kaedah-kaedah membuat kajian lapangan (masa buat kajian umur dalam 14-15 tahun, 16 tahun semak kajian , mcm buat ma plk, sayang dah buang analisa tu )


Maaf kerana cerita yang saya bentangkan tadi sedikit kebudak-budakan. Tapi sebelum dewasa kita memangpun budak-budak. Dan blog nipun sebenarnya terhasil kerana kasih kepada remaja dan budak-budak. Sabda baginda nabi mafhumnya:

“Bukanlah dari kalangan kami mereka yang tidak mengasihi mereka yang lebih kecil (muda) dari kami, dan tidak menghormati mereka yang lebih besar (tua) dari kami, dan tidak menghormati orang alim di kalangan kami”.

Cukuplah rasanya cerita pasal horoskop. Kalau boring sangat bacala buku Det Conan. Saya selalu silap bila nak baca buku komik Jepun, bila dah sampai tengah tak faham baru saya sedar bahawa saya baca buku tu terbalik arah. Sekian. Terima kasih!

Older Post About Horoskop

http://pewariskecemerlangan.blogspot.com/2008/10/mempercayai-ramalan-horoskop-i.html

http://pewariskecemerlangan.blogspot.com/2008/10/mempercayai-ramalan-horoskop-ii.html

http://pewariskecemerlangan.blogspot.com/2008/10/mempercayai-ramalan-horoskop-iii.html

Monday, 15 December 2008

Bila Mak Ayah Mula Berblog...

Ketika saya mengupdate blog saya tadi saya sempat meninjau-ninjau pelawat-pelawat yang berkunjung di blog saya. Kebanyakannya ialah ex-anak-anak didik saya, sahabat-sahabat dan kawan-kawan lama. Cuma mata saya terhenti melihat beberapa nama yang pernah saya temui. Yang pastinya ia bukan nama dari sebilangan besar nama anak-anak didik saya. Ia adalah nama-nama yang mewakili blog ibu-bapa mereka. Wah...Ini satu perkembangan yang menarik dan positif.

Nampaknya semakin meriah ruangan maya ini. Ada koridor-koridor baru yang dibuka. Mungkin saya boleh berhenti sekali-sekala untuk menghirup secawan kopi berkongsi cerita dan pengalaman nanti. Tahniah diucapkan kepada Mak Ayah yang sudah mula berblog. Tahniah diucapkan kepada Pn Junaidah. Teringin rasanya saya ajar ibu dan abah saya berblog. Tapi sebelum itu rasanya saya perlu ajar mereka guna h.set dan mesin ATM dengan mahir dulu.

Sunday, 14 December 2008

Kita Telah Berubah...dan Berubah

Setahun yang lalu saya berkesempatan bertemu dengan beberapa orang ex anak didik saya yang telah berhijrah SMKAY di MMY. Setahun yang masih baru dirasa. Kata mereka: "Ustaz, nasihatkan kami...kami rasa kami telah banyak berubah...tak macam dulu" Sedih kedengarannya. Apa yang berubah. Sifat, perangai & tingkahlaku , suasana atau umur? Kata saya kita memang berubah dan sedang berubah, manusia melalu fasa-fasa kehidupan yang pelbagai. Cuma ada perkara asas yang perlu kita ingat sebagai seorang Muslim untuk dirujuk selalu iaitu sentiasa kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Kita takkan selamanya kanak-kanak dan kita takkan selamanya remaja. Kamu takkan selamanya 15 tahun di tingkatan 3 sepertimana saya mengajar kamu dulu. Dan kita takkan selamanya di al-Mashoor, MMY atau MMBB. Kita juga takkan selamanya berada dalam satu biah yang kita suka bersama sahabat-sahabat yang kita sayangi dan cintai. Kita takkan selamanya muda. Dan kita takkan selamanya berada di dunia ini.

Kita menyusuri perjalanan kehidupan, sepertimana didahului mereka yang sebelum kita. Saya juga tidak akan selamanya sebegini. Tuhan memberikan saya peluang untuk belajar selama 27 tahun dari sekolah kehidupan. Dari meniarap, merangkak, berdiri, mula bertatih dan kemudiannya berlari. Membaca dan menulis. Menerima dan memberi. Kita belajar merasa kehidupan melalui pengalaman. Pahit atau manis. Suka atau duka. Adakalanya pengalaman merupakan hasil dari tarbiyah langsung dari tuhan tanpa kita sedari.

Belajar Dari Keslaahan Diri

Kita juga belajar dari kesalahan diri. Kecacatan dan keaiban. Kesalahan-kesalahan yang pernah kita lakukan. Adakalanya kesalahan dan kelemahan tersebut kita sememangnya tidak mahu ia berlaku pada diri kita. Namun, apa yang ditakdirkan Allah untuk berlaku, maka ia berlaku. Sekiranya kita permah ditakdirkan melakukan kesalahan lalu, maka kita tidak akan mampu mengubahnya atau berpatah balik lagi. Kita perlu meneruskan perjalanan kehidupan yang masih berbaki. Menyesali kesalahan-kesalahan lalu dengan bertaubat dan membuat perubahan di masa hadapan. Dan kecacatan dan kelemahan yang kita miliki akhirnya menyedarkan kita bahawa kita adalah insan yang tidak sempurna. Supaya kita terus berdoa, berharap serta memohon untuk berteduh, di bawah rendangan dan rahmat kasih tuhan yang tidak terhitung luasnya.

Ujian Dalam Kehidupan
Kita tidak akan gembira dan ketawa selamanya. Dan kita juga tidak patut untuk bersedih dan menagis selamanya. Apabila kita dapat melihat fitrah kehidupan ini, maka kita telah mampu melihat hikmah ilahi ini dengan penuh pelbagai warna dan sifatnya. Ujian pula pelbagai bentuk. Ada ujian berbentuk kenikmatan. Ada yang berbentuk kepayahan dan kesengsaraan. Semakin tinggi keimanan kita, semakin tinggi juga ujian yang perlu dihadapi. Itulah yang dapat kita simpulkan dari sirah para nabi-nabi dan rasul-rasul alaihim solatuwassalam. Memang benar, adakalanya kita merindukan kesempurnaan dalam kehidupan. Namun kesempurnaan kehidupan sebenarnya tidak akan lengkap tanpa pelbagai corak warna untuk disentuh dan dirasa. Kita semakin ramai kawan dan sahabat. Semakin luas ruang sosial dan pergaulan. Namun sebenarnya kita kurang sahabat yang apabila kita bertemu dengannya terasa nikmatnya Iman. Terasa manisnya beribadah. Terasa hampirnya diri dengan tuhan. Terasa dekatnya akhirat. Saya juga rindu saat-saat begitu. Tapi saya perlu akui, saya tidak di situ lagi, tidak dengan suasana yang sama. Kita berubah. Dan kita harapkan perubahan yang lebih bermakna akan berlaku dalam kehidupan sepanjang perjalanan kehidupan. Namun kita tetap istiqamah seperti dulu, bagi sahabat-sahabat yang benar-benar mengenali kita.