Monday, 16 February 2009

Mestikah Biografi Diri Ditulis Di Penghujung Kehidupan

Beberapa bulan yang lalu saya bekesempatan berbual-bual dengan seorang pegawai kanan secara tidak formal. Dia menceritakan perjalanan hidupnya yan lalu sehingga dia berada di tahap sekarang. Saya sempat bergurau dengan bertanya :"Mengapa tidak menulisnya sebagai catatan biografi?". Katanya nantilah kerana kebiasaanya catatan perjalanan orang menulisnya di penghunjung kehidupan. Saya cuma diam tersenyum tanpa sebarang apa-apa komen. Kelmarin lalu saya cuba-cuba membuat catatan biografi diri disertakan dengan sebuah dedikasi untuk ibu saya yang tercinta. Namun catatan tersebut saya tangguhkan 'post'nya meraikan ada betulnya juga adat dan kebiasaan tersebut. Saya pernah membaca beberapa titipan biografi yang memberi pengaruh besar dalam diri saya. Catatan beberapa orang hebat yang telah memuatkan pengalamannya untuk dipelajari oleh generasi kemudian. Sungguhpun menyedari diri tidaklah sehebat mereka namun ada impian untuk menjadi seperti mereka. Saya membaca karya-karya hebat seperti Syed Qutub yang memuatkan dedikasi perjalanan hidupnya sehinggalah dirinya bertemu Allah di tali gantung dengan wajah yang tenang dan gembira. Sesiapa yang memahami bagaimana Syed Qutub mengarang Tafsir Zilalnya 'Fi Zilal al-Quran' Di Bawah Naungan al-Quran pasti akan terkesan dengan penghayatannya terhadap al-Quran. Kesan tersebut begitu membekas di jiwanya dan sekiranya anda berkesempatan temukanlah sebuah karya Dr Salah al-Khalidi yang pernah membuat kajian metodologi Tafsir Zilalul Quran yang cukup indah penghayatannya.

Saya terfikir-fikir tentang apakah betulnya adat dan kebiasaan seseorang menulis biografi hidupnya di penghujung kehidupan. Ya, itulah kebiasaanya yang berlaku, namun siapakah kita untuk tahu bilakah penghujung kehidupan kita. Kita sebenarnya menulis tentang apa-apa yang telah berlaku semalam, hari ini dan saat ini. Dan untuk esok dan hari yang mendatang masih menjadi rahsia di sisi Allah yang meliputi ilmuNya terhadap segala sesuatu. Kita tidak perlu menantikan hari esok untuk menyampaikan sesuatu sedangkan belum tentu kita sempat melihat terbenamnya matahari pada hari ini. Lakukanlah apa yang mampu selagi nafas belum terhenti, sementara denyut nadi masih dirasai. Berkerjalah untuk duniamu seakan-akan dirimu akan hidup selama-lamanya dan beramallah untuk hari akhiratmu seakan-akan dirimu akan mati esok hari...

0 comments: