Sunday, 26 April 2009

Terjemahan God Kepada 'ALLAH' Oleh Kristian Di Malaysia

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah sallallah 'alaihi wasallam, hli keluarga baginda, seterusnya para sahabat radiayllah 'anhum ajmain. Amma ba'd. (post ini adalah reply jawapan kepada beberapa orang sahabat saya beberapa bulan yang lalu, saya menyimpannya untuk rujukan peribadi di hari yang mendatang)

Saya telah menerima beberapa panggilan dan mesej dari beberapa orang sahabat tentang dua isu yang menjadi tajuk perbualan kebelakangan ini. Pagi tadi panggilan telefon menyambut saya sebaik tibanya di pejabat. Buat sementara, saya melontarkan pandangan dan jawapan sekadar yang perlu. Ada perkara yang kadang-kadang sengaja kita tidak jawab untuk memberi ruang yang panjang kepada sahabat-sahabat kita berfikir dan menganalisa sendiri. Ada perkara yang kita tidak jawab kerana telah ada ramai yang bersedia menjawab. Sebahagian perkara kita tidak jawab kerana kita tidak suka terburu-buru dalam membuat analisa. Setiap manusia bertanggungjawab di atas kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan, apatah lagi yang berkaitan kepentingan Islam dan umatnya.

Saya faham sahabat-sahabat yang melontarkan pertanyaan adakalanya bertujuan untuk menilai pandangan peribadi saya sedangkan masing-masing ada yang telah menyediakan jawapan untuk diri sendiri. Satu soalan mengandungkan banyak maksud, jawapan, reaksi, pandangan peribadi atau menguji dan sebagainya.

Pandangan Yang Berbeza

Pandangan yang berbeza dalam sesuatu isu adalah disebabkan dimensi pemikiran yang berbeza, sudut-sudut pandang yang berbeza, kepentingan-kepentingan yang berbeza, nilai-nilai kefahaman yang berbeza, latar belakang yang berbeza dan pelbagai faktor-faktor lagi. Kekurangan di setiap lontaran pandangan tersebut membuktikan betapa keterbatasan akal manusia untuk membuat analisa secara keseluruhan isu tersebut. Pandangan-pandangan yang berbeza tersebut sekiranya mampu dicari titik-titik pertemuan, dan dianalisa juga titik-titik perbezaan maka dengan izin Allah akan mampu membuahkan sebuah lagi pendirian atau solusi yang yang lebih menenangkan ummah. Namun hakikatnya

Isu Pertama: Terjemahan 'God' Oleh Pihak Kristian Malaysia Dari 'Tuhan' Kepada 'Allah' Dalam Bahasa Melayu

Dalam Bahasa Inggeris 'God' membawa makna 'tuhan'. Penggunaan 'God Father' umpamaya merujuk kepada Tuhan Bapa dalam agama Kristian. Dalam Bahasa Melayu 'tuhan' adalah merujuk kepada apa yang disembah, diabdi termasuk dewa. Dengan definasi tadi tuhan adalah lebih am penggunaannya. Mereka yang mengabdikan kehidupan kepada harta-benda boleh dikatakan ber'tuhan'kan harta-benda. Adapun perkataan Allah adalah merujuk khusus kepada Allah yang Esa dalam agama Islam. (rujuk kamus dewan).

Apabila seoarang Muslim mengucapkan 'Tiada tuhan melainkan Allah' memberi maksud pengesaan tuhan hanyalah Allah. Maka perkataan Allah ini diterima pakai dalam masyarakat Malaysia amnya sebagai tuhan yang tiada sekutu oleh orang Islam.

Al-Quran mencabar masyarakat Arab Jahiliyyah sekiranya terdapat tuhan selain Allah untuk menempelak tuhan-tuhan mereka. Al-Quran mengakui bahawa orang-orang musyrikin mengiktiraf sebahagian daripada Rububiyyah Allah seperti Allah itu Pemilik langit serta bumi dan Allah itu Pengurus kejadian-kejadian di langit serta di bumi. Jika begitulah pengiktirafan mereka, sepatutnya mereka beriman dan menyembah Allah tanpa mempersekutukan-Nya. Firman Allah SWT:
“Katakanlah (kepada mereka): Kepunyaan siapakah bumi ini, dan semua yang ada padanya jika kamu mengetahui? Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah (kepada mereka): Apakah kamu tidak ingat?

“Katakanlah (kepada mereka): Siapakah yang mempunyai langit yang tujuh dan yang empunya ‘arasy yang besar? Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah (kepada mereka): Apakah kamu tidak bertaqwa?

“Katakanlah (kepada mereka): Siapakah yang di tangan-Nya berada segala kekuasaan sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi daripada (azab)-Nya, jika kamu mengetahui? Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah (kepada mereka): (Oleh yang demikian) dari jalan manakah kamu ditipu ?

“Sebenarnya Kami telah membawa kebenaran kepada mereka dan sesungguhnya mereka sebenarnya orang-orang yang berdusta.” (Al-Mu’minun: 84-90)

Begitulah konsep keesaan tuhan yang dibawa oleh al-Quran untuk mecabar masyarakat Arab Jahiliyyah. Sehingga tidaklah terpahat kukuh di hati-hati mereka yang beriman adanya tuhan yang lain melainkan Allah yang Esa.

Penyimpangan Nasrani Dalam Konsep Bertuhan

Diakui pada asasnya pertentangan antara Muslim dengan Kristian bukan kerana berebut penggunaan nama Allah tersebut. Maka tulisan Dr Mohd Asri mengenai perkara ini ada menyebutnya. Antara titik asas yang menjadi perbezaan di antara seorang Muslim dan Kristian ialah konsep 'trinity' dalam bertuhan. Muslim tidak menerima konsep ini dalam teras berakidah. Maka oleh itu bagi Muslim keimanan pada Allah hanya boleh diterima tanpa sekutu.

Maka oleh yang demikian penggunaan Allah sebagai terjemahan kepada 'God' amat sukar diterima terutama dalam masyarakat Islam Malaysia. Sekiranya terjemahan tersebut diguna pakai seakan-akan lahirlah pula Allah Bapa, Allah Anak dan sebagainya. Dalam erti kata yang lain masyarakat Islam di Malaysia hanya boleh menerima Allah itu digunakan sekiranya ia adalah Allah yang Esa. Sepertimana penggunaan perkataan agama dan Islam di mana perkataan Islam hanya diterima khas untuk agama orang Islam berlainan perkataan agama.

Perkataan dan Istilah

Pada saya perkataan (nama) dan Istilah (makna) sama penting. Dalam sesetengah keadaan sememangnya isi lebih perlu diperjuangkan dari nama (perkataan), perkara ini mungkin dalam isi yang sama cuma namanya sahaja yang berbeza.

Namun, dalam banyak keadaan perkataan diperlukan untuk memperjuangkan isi. Sekiranya tidak, kita tidak mempunyai kerangka, tapak dan mungkin sistem untuk kita berpijak. Kewujudan kamus-kamus atau istilah-istilah sudah menjadi tidak bermakna lagi.

Dalam memperjuangkan konsep-konsep tauhid umpamanya kita tidak mampu membezakan lagi antara sesuatu sekiranya kita berkongsi banyak perkara dengan nama yang sama namun makna yang berbeza. Di celah-celah pertikaiaan tersebut akan lahir lebih ramai golongan sofis yang akan meragu-ragukan. Namun kita yakin agama Allah tidak akan terpadam.
besambung...

0 comments: