Angan-angan mungkin boleh diterjemah dengan maksud impian, atau cita-cita secara bahasa positifnya. Namun angan-angan yang panjang menenggelamkan manusia dalam kelapaan, dan melupai bahawa hidup ini sebenarnya cuma persinggahan yang sementara. Waktu yang dimiliki adalah harga usia kehidupan seseorang insan. Oleh kerana insan selalu lalai untuk menghargai masa dan waktu, maka Allah sentiasa memperingatkan manusia dengannya:
'Demi malam apabila menutupi cahaya siang, dan siang apabila ia terang benderang' (al-Lail:1-2)'Dan malam ketika telah berlalu, dan Subuh apabila ia mulai terang' (al-Muddatsir:33-34) 'Demi malam apabila ia meninggalkan gelapnya, dan demi subuh apabila fajarnya menyinsing'(al-Takwir:17-18)'Maka sesungguhnyaaku bersumpah dengan cahaya merah di waktu senja' (al-Insyiqaq: 16-18) 'Demi fajar dan malam yang sepuluh' (al-Fajr: 1-2) 'Demi waktu Dhuha, dan demi malam apabila ia telah sunyi' (al-Dhuha: 1-2)'Dan demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian' (al-Asr: 1-2)
Meskipun tuhan barkali mendatangkan peringatan dalam pelbagai bentuk tentang masa, manusia tetap lalai, tenggelam dan alpa bersama angan-angannya yang panjang. Manusia bermimpi panjang untuk hidup lagi esok hari, menyia-nyiakan waktu dan peluang yang diberi, sehinggalah dia bertemu titik penyesalan di akhirat nanti.
Di alam kanak-kanak manusia bermimpi bahawa dia akan lama di sana, di alam remaja dia terlupa dia akan membesar dewasa, ketika dewasa dia alpa bahawa dia semakin meniti hampir keusia tua, di kala tuanya dia masih bermimpi lagi sehingga ajal dan maut datang menjemputnya.
Manusia sering bermimpi bahawa peluang yang Allah berikan padanya akan datang lagi, maka dia menangguhkan amalnya, mengangankan hari esok yang belum pasti dia akan temui, sehinggalah dia tersedar dari mimpi, bahawa masa dan peluang yang berlalu tidak akan kembali lagi. Sebahagian mereka mula tersedar, bahawa peluang yang diberikan tuhan kepadanya suatu ketika dulu, tidak mungkin sama dengan peluang yang dimilikinya hari ini, dan peluang yang dimilikinya pada hari ini tidak sama dengan apa yang masih mungkin dia temui pada esok hari, kerana masa berlalu, memperuntukkan harga dan nilai yang berbeza-beza dalam kehidupannya.
Maka oleh itu, tinggalkanlah manusia itu dengan angan-angan panjangnya, kerana dia merasakan Ramadhan akan muncul lagi di tahun berikutnya, dia akan hidup lagi pada keesokannya, kesihatannya akan masih elok tidak terjejas seperti biasa, masanya akan sentiasa lapang tanpa sibuk sepanjangnya, harta dan kekayaan yang dia miliki tidak akan susut malah akan bertambah sebanyak-banyaknya, peluang akan sentiasa berulang dalam hidupnya; supaya dengan demikian nanti kita tidak bersamanya menjadi manusia yang berkalau begini dan berkalau begitu pada akhirnya. Moga Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang terbaik untuk diri, dan hamba-hamba yang merindui kehadirannya.Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak buat semua.
0 comments:
Post a Comment